Apa ‘trainer’ boleh buat dalam situasi COVID 19?

Salah satu soalan yang saya terima dalam Webinar Soal Jawab Senaman dan Latihan Bulan Puasa semalam adalah berkaitan cabaran dan apa yang ‘trainer’ patut buat dalam situasi COVID 19 sekarang.


Sukar untuk saya menjawab persoalan ini, kerana secara umumnya COVID 19 adalah isu semua industri. Meluas seluruh dunia.


Apa yang setiap orang boleh buat sekarang adalah bersama-sama memerangi COVID 19 dengan memainkan peranan masing-masing. Paling mudah, dengan melakukan penjarakan sosial, berada di rumah dan sentiasa mengamalkan amalan kebersihan.


Seperti dimaklumi, pusat-pusat kecergasan seperti gimnasium adalah termasuk dalam kawasan atau fasiliti berisiko amat tinggi dalam penyebaran virus seperti COVID 19 ini. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti sukan rekreasi atau prestasi tinggi. Maka, di sini sahaja kita boleh anggarkan industri sukan dan kecergasan kita tidak akan pulih seperti sebelum ini dalam masa singkat.


Yang pasti, situasi ini akan berterusan sehingga vaksin ditemui atau berlakunya proses yang menjurus kepada kewujudan ‘herd imunity’ atau imuniti kelompok (yang salah satunya dipercepatkan dengan pemberian vaksin).


Kita semua terkesan dengan situasi ini. Namun kesan yang dirasai antara setiap individu, organisasi dan perniagaan adalah berbeza antara satu sama lain dari sudut tahap impaknya kepada kehidupan harian dan ‘future survival’ masing-masing. Kata kunci paling utama rasanya adalah “sumber pendapatan”. Ada yang boleh bertahan selama mana organisasi mereka boleh bertahan. Ada yang bergantung kepada sumber harian, maka apabila wujudnya MCO sumber harian tersebut terjejas. Dan ada yang bergantung kepada sebanyak mana sumber simpanan untuk kecemasan ada tersimpan. Banyak faktor, dan amat sensitif untuk diulas lebih panjang tanpa data dan fakta sebenar terkini.



Yup..lebih "hidup" di luar sana. Apa sekalipun, latihan atas talian tetap tidak mampu tandingi latihan bersemuka.

Secara umumnya di seluruh dunia, apa yang dilakukan oleh ‘trainer’ samada yang bergerak secara komersial-sendirian atau dengan organisasi atau secara ‘part-time’ adalah dengan:


i. Memindahkan urusniaga atau urusan kerja mereka secara atas talian hampir secara total. Sekiranya anda adalah ‘freelance trainer’, maka ‘survival’ anda akan bergantung kepada tahap kemahiran anda dengan segala aplikasi atas talian yang diperlukan.


ii. Melakukan kembali analisa keseluruhan operasi. Paling minima, gunakan analisa Strength, Weaknesses, Opportunity & Threat-SWOT.


iii. Bina kembali perkhidmatan dan perniagaan ‘trainer’ anda sekiranya modus-operandi sedia ada tidak sesuai dengan situasi yang dicetuskan COVID 19 ini, untuk masa kini dan masa akan datang. ‘Redefine’, ‘Refocus’, dan ‘Restructure’.


iv. ‘Worse case scenario’, akan ada yang perlu tinggalkan terus sebentar bidang ini. Lompat ke bidang-bidang perniagaan lain yang masih boleh menjana sumber dalam situasi ini. Pasaran ‘trainer’ terutamanya dalam pasaran komuniti berpendapatan sederhana dan rendah adalah lemah. Dengan pendapatan ‘client’client’ kita sendiri terjejas, membuat bayaran pada perkhidmatan ‘trainer’ yang dikira ‘non-essential’ dalam situasi sekarang dan mendatang, menjadi suatu bebanan pada mereka juga (bagi saya, melihat pada ramainya pakar 'segera' latihan muncul di laman-laman sosial dengan senaman dan nasihat yang mungkin menambah risiko kecederaan, kita sebenarnya kelihatan amat 'essential' di situ).


v. Bagi ‘trainer-trainer’ berpendapatan tetap atau masih mampu bertahan, ini juga bukan masa untuk hanya leka dan berehat. Jalankan tanggungjawab pada diri, organisasi dan pada masyarakat. Perkongsian ilmu percuma melalui pelbagai medium atas talian (ini ‘marketing’ juga),bantuan pada 'frontliners' ikut kemampuan, pembinaan kemahiran baharu (masa untuk ‘upgrade’ diri) dan lakukan juga langkah i, ii, dan iii. Ingat, diri dan organisasi kita juga perlu terus relevan sewaktu dan selepas COVID 19.


Sekali lagi, ini hanyalah sebahagian daripada apa yang boleh dilakukan oleh ‘trainer-trainer’ di luar sana. Mohon maaf saya tetap gunakan istilah ‘trainer’ dalam Bahasa Inggeris hingga ke akhir. Secara realitinya dan secara tidak sedar, istilah ‘trainer’ lebih banyak di gunakan di luar sana terutama bagi memberi gambaran kepada jurulatih-jurulatih komersial yang membuka perkhidmatan latihan dan perundingan mereka kepada pelbagai pihak (orang awam, atlet, pasukan dan lain-lain). Asalkan pengguna perkhidmatan mampu membayar.

Tentang persoalan, kenapa saya begitu mengambil berat berkaitan ‘trainer’ dan ‘survival’ perkhidmatan mereka? One way or another, I am also a trainer. Tetapi paling penting saya adalah ahli akademik, yang tugasnya mengajar dan melahirkan ‘trainer’. Menjalankan penyelidikan bagi menyelesaikan masalah yang sebenarnya biasa di alami hanya oleh ‘trainer’. Melakukan projek-projek perundingan yang di hujung taliannya adalah ‘trainer’. Oleh itu, ‘survival trainer’ adalah ‘survival’ saya sendiri.


Kesimpulan

Lima langkah-langkah yang boleh dilakukan ‘trainer’ seperti tersenarai adalah apa yang saya perhatikan dan saya sendiri sedang lakukan. Namun ianya hanya konsep kasar, dengan langkah-langkah terperinci setiap satunya boleh di ‘Google’kan. Saya sendiri akan cuba memberi kupasan lanjut samada dalam siri Webinar akan datang atau siri Podcast saya.


Terima kasih kerana meluangkan masa membaca artikel ini. Selaku seorang penyelidik juga, saya mengalu-alukan sebarang komen, maklumbalas pengalaman dan pendapat berkaitan isu ini yang boleh dihantar kepada saya melalui email nur.ikhwan@fsskj.upsi.edu.my atau melalui borang ‘Contact’ di laman sesawang www.sigconditioning.com. Jom sama-sama bersatu idea dan perancangan membantu diri kita dan rakan-rakan ‘trainer’ kita.



Nota kaki: Kepada mereka yang boleh menjadi pengguna perkhidmatan jurulatih atau 'trainer', inilah masanya. Dapatkan program latihan, pemantauan dan nasihat daripada jurulatih-jurulatih kecergasan yang berkelayakan. Mohon jasa baik, jangan percuma sahaja. 'Trainer' juga punya kehidupan dan tanggungan.

Nur Ikhwan Mohamad,

Faculty of Sports Science & Coaching,

Sultan Idris Education University,

35900, Tanjung Malim,

Perak, MALAYSIA.

  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube

© 2010-2020 NIM & RSH

Disclaimer: The webmaster, shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this web site. The views on this site are not those of the Sultan Idris Education University or any organizations linked to the authors. www.sigconditioning.com is also reachable from www.nurikhwan.com

FULL DISCLAIMER  ::  PRIVACY POLICY  ::