Infografik Ringkasan Penyelidikan: Jangan Terima Bulat-Bulat
- Nur Ikhwan Mohamad 
- Jun 4, 2020
- 2 min read

- Banyak infografik memberi ringkasan dan dapatan penyelidikan-penyelidikan dalam bidang sains sukan dan sains senaman sekarang ini. 
- Ringkasan atau pun tidak, setiap penyelidikan ekperimental dilakukan dalam keadaan terkawal, biasanya dengan kumpulan kecil mewakili sebahagian kecil populasi tertentu. 
- Hasil kajian juga mungkin tidak sama sekiranya dilakukan dengan kelompok lain populasi atau dalam keadaan sedikit berbeza di mana-mana bahagian kaedah penyelidikan tersebut. 
- Penyelidik akan sentiasa cuba menjalankan sebanyak mungkin penyelidikan dalam bidang-bidang berkaitan, dengan hasil dapatan disebar kepada sesiapa yang berminat melalui penulisan laporan dalam bentuk jurnal penyelidikan. 
- Adalah menjadi tanggungjawab ahli akademik dan saintis untuk terus menghasilkan kajian bagi melengkapkan proses menyelidik dan mendapatkan jawapan bagi permasalahan-permasalahan dalam bidang. 
- Kombinasi dan gabungan semua hasil penyelidikan yang dilakukan akan dapat membantu satu kesimpulan yang konklusif dan lebih tepat di ambil ke atas mana-mana kondisi atau permasalahan. 
- Semakin banyak kajian, semakin banyak bukti untuk membantu pembuat keputusan. 
- Adalah menjadi tanggungjawab dan dalam bidang kuasa pengamal kecergasan / jurulatih / atlet / pentadbir untuk memilih dan menggunakan mana-mana hasil penyelidikan yang berkaitan (dan TIDAK memilih mana-mana yang tidak berkaitan atau timbangan kemudaratannya lebih tinggi daripada kebaikannya kepada situasi semasa pengamal). 
- Hasil penyelidikan yang dipaparkan dalam jurnal-jurnal penyelidikan BUKAN bermaksud pengamal industri WAJIB menggunakannya atau mengamalkannya. 
- Ianya adalah untuk KITA selaku PENGAMAL untuk menilai dan memilih mana yang berkenaan dan boleh digunakan oleh kita dalam amalan harian. 
- Bahkan kita perlu bersikap analitikal dan kritis. Lihat kelemahan dan kekurangan penyelidikan tersebut, yang semestinya mempengaruhi hasil penyelidikan berkenaan. 
- Bagi ahli akademik dan para penyelidik, maklumbalas daripada pengamal kepada hasil-hasil kajian mereka adalah amat penting, bagi memastikan kajian seterusnya dapat dijalankan dengan perubahan-perubahan penambahbaikan. 
- Tiada penyelidikan yang sempurna. Tiada penyelidikan yang akan berjaya merangkumkan segalanya dalam satu siri. 
- Penyelidikan adalah satu proses berterusan, sama seperti proses kehidupan harian. 
- Apa yang baik untuk hari ini tidak semestinya baik untuk esoknya. Begitu juga sebaliknya. 
- Infografik hasil penyelidikan hanyalah jendela kepada isi rumah yang lebih luas. 
- Jendela tidak mampu memberikan pandangan keseluruhan rumah. Masuk dan lihat isinya sekiranya apa yang terpapar di jendela menarik minat anda. 
- Jangan terima bulat-bulat. 



