top of page

Konsep pasang surut dalam pengurusan masa bagi kesihatan tubuh

Writer's picture: Nur Ikhwan MohamadNur Ikhwan Mohamad

Pengurusan masa selalu dilihat dari sudut hasil kerja. Tetapi pengurusan masa juga adalah merupakan kunci kesihatan tubuh badan kita. Permulaan kepada konsep pengurusan masa paling mudah adalah dengan memahami keperluan pasang surut bebanan kerja dan kehidupan keatas tubuh kita. Hans Selye, seorang pakar endrokoronologi (pakar perubatan berkaitan penghasilan hormone tubuh) silam telah memperkenalkan apa yang dipanggil teori Sindrom Adaptasi Umum atau General Adaptation Syndrome (GAS). Teori beliau ini adalah yang teori pertama yang berjaya menghuraikan sindrom tekanan biologi. Mengikut teori beliau yang kemudiannya dibuktikan oleh banyak kajian saintifik hingga kini, setiap apa yang berlaku dalam kehidupan dan memberi tekanan (physiology dan psikobiologi) kepada manusia akan menyebabkan tubuh menghasilkan respon dalam tiga fasa.

Fasa 1: Kejutan. Apabila mengadapi tekanan, tubuh memberi tindak balas “lawan atau lari”, dengan sistem neural tubuh diaktifkan. Hormon seperti kortisol dan adrenalin akan dilepaskan ke dalam saluran darah tubuh bagi menghadapi ancaman atau bahaya. Sumber tubuh kini digerakkan.

Fasa 2: Tentangan. Sistem tubuh mengembalikan banyak fungsi fisiologi ke tahap normal dengan pada masa sama tubuh memberikan fokus sumber tenaganya menghadapi tekanan. Tahap glukos dalam darah kekal tinggi, dengan kortisol dan adrenalin terus berada pada tahap peningkatan, namun secara luaran tubuh individu berkenaan tetap kelihatan normal. Diketika ini kadar nadi dan tekanan darah akan meningkat. Tubuh kekal berada pada tahap siapsiaga.

Fasa 3: Keletihan. Sekiranya tekanan berterusan melangkaui kapasiti tubuh, ianya akan menghabiskan sumber dalam badan dan menjadikan tubuh terdedah kepada penyakit dan kematian.

Apabila dihubungkaitkan teori GAS ini dengan pengurusan masa, maka akan kelihatan logik saintifik perlunya pasang surut dalam aturan kehidupan. Setiap bebanan kerja yang kita terima, setiap masalah yang kita hadapi dan selesaikan adalah merupakan tekanan kepada fisiologi dan psikobiologi tubuh kita. Kita merasakan kita kuat, namun diakhirnya tubuh akan mengalah jika rehat secukupnya tidak diberikan dan kita berterusan mengamalkan aturan hidup yang sama. Ini adalah antara penjelasan kenapa banyaknya kes kematian mengejut (serangan janutung terutamanya) dikalangan individu yang dikatakan sihat dan cergas dalam kehidupan.

Oleh itu, konsep pasang surut disini bermaksud, lihat jadual anda, letakkan beberapa hari yang graf atau ombak kehidupan berada di tahap tinggi, dan beberapa hari yang lain bebanan tersebut perlu turun. Kesibukan kerja jangan digantikan dengan kesibukan bercuti kononya, tetapi tubuh tetap diberi tekanan. Beri rehat secukupnya. Tidur dan lupakan seketika perkara lain. Rehat pasif, bukan aktif kesana sini. Anda mungkin cuti tidak bekerja, namun percutian anda masih menyebabkan tubuh anda tidak berehat tetapi bergerak aktif kesana kemari. Pastikan ada surutnya, Umpama ombak pantai susut di waktu malam dan pasang menjelang pagi.

 

Rujukan:

Selye, H. (1973). The Evolution of the Stress Concept: The originator of the concept traces its development from the discovery in 1936 of the alarm reaction to modern therapeutic applications of syntoxic and catatoxic hormones. American scientist, 61(6), 692-699.

Viner, R. (1999). Putting stress in life: Hans Selye and the making of stress theory. Social studies of science, 29(3), 391-410.

Selye, H. (1965). The stress syndrome. The American Journal of Nursing, 97-99.

Fink, G. (2017). Selye’s general adaptation syndrome: stress-induced gastro-duodenal ulceration and inflammatory bowel disease. Journal of Endocrinology, 232(3), F1-F5.

Wadhwa, S., & Thakar, A. (2017). A Qualitative Study on Workplace Stress: Fight or Flight Response. International Journal of Engineering and Management Research (IJEMR), 7(3), 57-61.

Wethington, E., Hachey, S. M., & Rosenblum, S. F. (2014). Stress: Conceptualization in Medicine and Social Sciences. The Wiley Blackwell Encyclopedia of Health, Illness, Behavior, and Society.

Donnelly, T. (2014). Stress among nurses working in an acute hospital in Ireland. British Journal of Nursing, 23(13).

bottom of page