
Yang selalu didengari adalah perlunya kita bersikap sentiasa positif dan berkata "Ya" pada setiap perkara. Namun rasanya kekal positif dengan sentiasa berkata "Ya saya mahu" / "ya saya boleh" dan sebagainya pada suatu peringkat akan membawa seseorang individu kepada implikasi negatif. Pakar psikologi atau motivasi mungkin boleh memberi pencerahan yang lebih baik berkaitan perkara ini.
Apa yang ingin difokuskan di sini adalah, dalam keghairahan kita bersikap positif dan mengiyakan setiap apa yang datang kepada kita, mungkin kita sebenarnya telah melangkaui tahap kemampuan kita sendiri sendiri.
Setiap dari kita yang ingin memastikan diri dan persekitaran sentiasa dikelilingi oleh aura positif perlu memastikan pengurusan masa kehidupan adalah teratur, dengan setiap detik masa yang berlalu memberikan impak positif kepada kehidupan kita.
Dalam mengatur masa ini, perlu kita ingat bahawa setiap satu perkara dalam kehidupan kita adalah merupakan amanah, dengan setiap darinya perlu mempunyai peruntukan masanya tersendiri. Apabila percaturan masa kita memberikan peruntukan masa berlebihan kepada salah satu amanah-amanah kita itu, maka bersedialah untuk menikmati impak positif bagi amanah yang mendapat masa yang lebih tersebut. Namun pada masa sama, bersedialah kemungkinan impak negatif kepada amanah yang mendapat peruntukan masa yang sedikit itu. Kata kuncinya, pembahagian masa yang adil kepada setiap hak dalam kehidupan.
Dan disinilah kaitannya dengan kekal positif dengan berkata ya atau berkata tidak tadi. Ada waktunya kita akan berhadapan cabaran dimana berkata ya bermaksud pengorbanan peruntukan masa bagi amanah yang lain. Sama seperti konsep peminjaman, jika kita terus menerus berada dalam keadaan dimana masa yang dikorbankan untuk sesuatu tidak digantikan, maka kita akan mula kehilangan perkara yang dikorbankan.
Maka kesimpulannya, ada waktunya untuk kekal positif dalam kehidupan, berkata tidak itu mungkin satu keperluan didalam sesetenagh situasi. Sudah pasti, ada yang akan tidak bersetuju dengan ini. :)