Latihan kekuatan yang berteraskan halaju (velocity based training - VBT) merupakan kaedah latihan yang memfokuskan kepada halaju pergerakan lakuan senaman atau halaju pergerakan bebanan, untuk meningkatkan kekuatan dan kuasa otot. Ini berbeza dengan pendekatan berfokuskan bebanan semata, yang lebih menitikberatkan berapa banyak boleh di angkat berbanding berapa laju pergerakan bebanan tersebut.
Antara faedah utama latihan berteraskan halaju berbanding berteraskan bebanan adalah kemampuan kaedah ini untuk mengambilkira turun naik kemampuan fizikal harian atlet, sekaligus membolehkan bebanan yang diangkat ditambah atau dikurangkan mengikut tahap kelesuan/keletihan (kecergasan harian) atlet. Ini juga membantu mengurangkan risiko terlebih intensiti latihan atau terkurang. Selain daripada itu, dalam sesetengah situasi dan periodisasi latihan, atlet boleh disasarkan untuk kekal pada sesuatu tahap kelajuan pergerakan, contohnya mengekalkan halaju tinggi bagi tujuan pembinaan kelajuan, tanpa terikat kepada sesuatu peratus bebanan maksima seperti yang biasa digunakan (contohnya kekal perlu mengangkat beban 70% daripada angkatan maksima, walaupun ini menyebabkan kelajuan pergerakan menurun terutama pada sesi di mana atlet berada dalam keadaan kelesuan lebih daripada biasa, sekaligus memberi kesan latihan berbeza dari sudut halaju yang baisa sasaran utama di fasa tertentu).
Cuma dari sudut mudah atau tidak penggunaan kaedah latihan berteraskan kelajuan adalah bergantung kepada tersedia atau tidak kemudahan alatan atau kelengkapan untuk mengukur kelajuan setiap angkatan bebanan dalam setiap sesi. Berbeza dengan latihan berteraskan bebanan, sebagai contoh yang hanya perlu melihat kepada jumlah bebanan yang sudah dimasukkan ke barbell atau dumbell. Latihan berteraskan halaju perlu mempunyai kaedah atau teknologi untuk melihat halaju pergerakan bebanan tersebut, bagi menentukan intensiti yang disasarkan itu tercapai.
Lengkung Daya-Halaju

Teras utama latihan berteraskan halaju boleh dilihat melalui lengkung daya dan halaju. Lengkung daya-halaju adalah lengkung yang secara mudah menggambarkan perkaitan songsang antara daya dan halaju. Semakin besar daya, semakin perlahan halaju, dan sebaliknya. Kajian-kajian saintifik kemudiannya memberikan dapatan yang menunjukkan anggaran halaju pada beberapa titik utama lengkung yang boleh memberikan adaptasi latihan tertentu (adaptasi untuk pembesaran otot, adaptasi untuk kelajuan dan daya tahan dan seterusnya). Latihan berteraskan halaju memanfaatkan lengkung daya-halaju dengan memfokuskan pada menjejak dan memanipulasi kelajuan pergerakan (halaju) semasa latihan kekuatan. Matlamatnya adalah untuk mengoptimumkan beban dan halaju latihan untuk meningkatkan kualiti tertentu komponen kecergasan tertentu kekuatan, kuasa dan kelajuan.
Di sini digariskan beberapa teras utama konsep latihan beteraskan halaju iaitu:
Zon Halaju: Zon halaju yang berbeza sepadan dengan hasil latihan yang berbeza. Sebagai contoh, halaju yang lebih tinggi mungkin digunakan untuk latihan kuasa, manakala halaju yang lebih rendah mungkin digunakan untuk latihan kekuatan.
Maklum Balas Masa Nyata: VBT memberikan maklum balas segera tentang kelajuan pergerakan, membolehkan pelarasan bebanan dan halaju di buat.
Pembinaan Profil Kelajuan dan Beban: Dengan menanda atau mengukur perhubungan daya-halaju atlet, jurulatih boleh mencipta program latihan yang mensasarkan kepada keperluan dan matlamat khusus atlet terbabit (prinsip pengkhususan dan individu dalam latihan).
Secara ringkasnya, lengkung daya-halaju adalah konsep asas dalam latihan berteraskan halaju, menyediakan rangka kerja untuk memahami dan mengoptimumkan beban dan halaju latihan untuk meningkatkan prestasi fizikal atlet. Dengan menentukan kelajuan-adaptasi berlaku dan memanipulasi kelajuan pergerakan, jurulatih yang menggunakan kaedah latihan berteraskan halaju mampu membina program latihan yang lebih berkesan dan khusus untuk peningkatan kekuatan, kuasa dan kelajuan.